Intelektual ialah orang yang
menggunakan inteleknya untuk bekerja, belajar,
membayangkan, mengagak, atau menyoal dan menjawab soalan tentang berbagai-bagai idea. Secara amnya, terdapat
tiga takrif moden untuk istilah "intelektual", iaitu:
1. mereka yang amat terlibat
dalam idea-idea dan buku-buku;
2. mereka yang mempunyai
kepakaran dalam budaya dan seni yang memberikan mereka
kewibawaan kebudayaan, dan yang kemudian mempergunakan kewibawaan itu untuk
bertutur tentang perkara-perkara lain di khalayak ramai. Golongan ini dipanggil
sebagai "intelektual kebudayaan".
3. dari segi Marxisme, mereka yang tergolong
dalam kelas pensyarah, guru, peguam, wartawan, dan sebagainya.
Oleh itu, intelektual
sering dikaitkan dengan mereka yang berkelulusan universiti. Bagaimanapun, Sharif Shaary, dramatis Malaysia yang terkenal, mengatakan
bahawa hakikatnya tidak semudah itu. Beliau berkata:
"Belajar di
universiti bukan jaminan seseorang boleh menjadi intelektual... seorang
intelektual itu adalah seorang pemikir yang sentiasa berfikir dan mengembangkan
[serta] menyumbangkan ideanya untuk kesejahteraan masyarakat. Dia juga adalah
seorang yang mempergunakan ilmu dan ketajaman fikirannya untuk mengkaji,
menganalisis, merumuskan segala perkara dalam kehidupan manusia, terutama
masyarakat di mana dia hadir khususnya dan di peringkat global amnya untuk
mencari kebenaran dan menegakkan kebenaran
itu. Lebih daripada itu, seorang intelektual juga adalah seorang yang kenal akan
kebenaran dan berani pula memperjuangkan kebenaran itu, meski bagaimanapun
tekanan dan ancaman yang dihadapinya, terutama sekali
kebenaran, kemajuan, dan kebebasan untuk rakyat." [1]